Hutang paling tinggi bukan Pahang, tapi Selangor


(MalaysiaGazette) – Negeri yang berhutang paling tinggi kepada Kerajaan Pusat bukan Pahang tetapi Selangor.

Liabiliti Selangor kepada kerajaan sekurang-kurangnya RM25 bilion berbanding RM3 bilion untuk negeri Pahang.

Datuk Seri Najib Razak menjelaskan, jika sebuah negeri mahu meningkatkan atau menstruktur kembali infrastruktur perkhidmatan air, mereka ada dua pilihan untuk mencari dana.

Kaedah pertama ialah meminjam dana dari kerajaan pusat. Kaedah ini digunakan oleh negeri Pahang dan menyebabkan hutang negeri meningkat.

Namun, aset-aset infrastruktur air masih dimilik oleh negeri Pahang.

Kaedah kedua pula meminta Kerajaan Pusat mengeluarkan dana untuk membeli aset-aset infrastruktur air dan menyewa kembali aset-aset ini kepada negeri dan kaedah ini digunakan Selangor.

Najib berkata, dari tahun 2010 sehingga tahun 2018, Kerajaan Pusat telah mengeluarkan dana serta mengambil alih liabiliti yang berjumlah RM25 bilion untuk aset-aset air negeri Selangor.

Ini termasuk untuk projek penyaluran Air Mentah Pahang ke Selangor, projek Loji Rawatan Air Langat 2 dan skim penstrukturan semula industri bekalan air.

“Selangor membayar balik kepada Kerajaan Pusat dengan cara pajakan iaitu bayaran sekitar RM750 juta setiap tahun selama 45 tahun sebelum aset-aset ini dikembalikan kepada negeri.

“Walaupun kedua-dua kaedah melibatkan Kerajaan Pusat mengeluarkan dana untuk negeri, kaedah kedua tidak dikira sebagai hutang rasmi negeri kerana ianya diklasifikasi sebagai pajakan.

“Bagaimanapun, kedua-dua kaedah memerlukan negeri untuk membayar balik kepada Kerajaan Pusat – samada dengan membayar hutang seperti Pahang ataupun secara ansuran melalui bayaran pajakan tahunan seperti Selangor (dan Pulau Pinang),” katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu menambah, bahagian terbesar daripada hutang RM3 bilion negeri Pahang ialah untuk infrastruktur perkhidmatan air negeri itu.

Apabila negeri Pahang menjalankan kaedah penstrukturan semula industri perkhidmatan air seperti yang telah dilakukan oleh negeri Selangor dan negeri-negeri lain, maka hutang negeri Pahang juga akan jatuh dengan banyak.

Najib mendakwa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah berkali-kali menyalahgunakan saluran rasmi kementerian untuk serangan politik ke atas negeri Pahang pada Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands minggu lepas.

“Tetapi dia tidak memberikan gambaran sebenar seperti apa yang saya jelaskan diatas.

“Buat apa dia perlu beri maklumat lengkap dan sahih asalkan rakyat masih senang untuk ditipu oleh Menteri Kewayangan DAP?,” ujarnya.



Comments
Loading...