APA IMPLIKASI STATUT ROM KEPADA UNDANG-UNDANG SYARIAH DI MALAYSIA?


Isham Jalil, Editor Malaysia

Saya baru dimaklumkan bahawa kelmarin Menteri Luar Negeri Dato’ Saifuddin Abdullah telah menghadap DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenaan tindakan Kerajaan menandatangani Statut Rom.

Menteri Luar Negeri berkata bahawa Perlembagaan tidak perlu dipinda dan Majlis Raja-raja Melayu tidak perlu dirujuk untuk menandatangani dan meratifikasi Statut Rom.

Dalam hujah untuk menyokong kenyataan beliau di atas, beliau menyebut bahawa berdasarkan Artikel-artikel 74, 80, 38 dan 39 Perlembagaan Persekutuan, apa-apa ratifikasi instrumen antarabangsa yang melibatkan hubungan luar negeri jatuh di bawah bidang kuasa Eksekutif (i.e. Kabinet atau Menteri Luar Negeri) di Putrajaya dan bukannya bidang kuasa Majlis Raja-raja Melayu (atau Parlimen dan Kehakiman).

Oleh itu menurut beliau, Majlis Raja-raja Melayu tidak perlu dirujuk dan Perlembagaan tidak perlu dipinda untuk menandatangani dan meratifikasi Statut Rom tersebut.

Saya tidak berniat untuk mengecilkan kewibawaan Menteri Luar Negeri Kerajaan PH ini.

Namun demikian saya rasa Menteri Luar Negeri PH ini tidak faham akan maksud artikel-artikel dalam Perlembagaan yang disebut oleh beliau tersebut.

Terdapat sekurang-kurangnya tiga kesalahan ke atas kenyataan Menteri Luar Negeri PH ini:

PERTAMA, apa yang Menteri ini gagal perhalusi atau sengaja tidak faham ialah instrumen antarabangsa Statut Rom ini bukan sahaja melibatkan hubungan luar negeri, namun ia melangkau dan memberi kesan kepada sistem perundangan dan penguatkuasaan undang-undang jenayah dalam negeri.

Statut Rom ini bukanlah instrumen hubungan luar negeri yang biasa namun adalah satu instrumen luar negeri yang mencampuri urusan undang-undang dalam negeri.

Oleh itu Artikel-artikel dalam Perlembagaan yang disebut oleh Menteri di atas sepatutnya perlu dibaca bersama Artikel 121 ke 131 dan yang berkaitan dengannya dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai kuasa-kuasa perundangan mahkamah-mahkamah dalam negeri di Malaysia.

KEDUA, Artikel-artikel 74 dan 80 dalam Perlembagaan Persekutuan yang disebut oleh Menteri di atas tidak ada kena mengenapun dengan pembahagian kuasa di antara Eksekutif dan Majlis Raja-raja Melayu atau Parlimen, atau berkenaan hubungan luar negeri atau antarabangsa di antara Malaysia dengan negara-negara lain.

Artikel-artikel 74 dan 80 seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah merujuk kepada hubungan dan pembahagian kuasa di antara kuasa eksekutif Kerajaan Persekutuan dan kuasa eksekutif Kerajaan Negeri di dalam Malaysia mengikut asas federalisme (gabungan negeri-negeri di bawah suatu persekutuan).

Berdasarkan konteks dan perbandingan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri di atas, sudah tentulah kuasa eksekutif berkenaan hubungan luar negeri atau antarabangsa adalah diletak di bawah bidang kuasa eksekutif Kerajaan Persekutuan dan bukannya bidang kuasa eksekutif Kerajaan Negeri.

(Tidak ada negara persekutuan dalam dunia ini yang memberi kuasa diplomatik hubungan luar negeri atau antarabangsa kepada kerajaan negeri di dalam persekutuan mereka.)

Majlis Raja-raja Melayu tidak ada kena mengena dengan perbandingan dan pembahagian bidang kuasa dalam Artikel-artikel 74 dan 80 ini kerana artikel-artikel ini membincangkan soal pembahagian kuasa eksekutif, pentadbiran dan pelaksanaan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, dan Majlis Raja-raja Melayu tidak terlibat dalam hal ini sebab ia bukanlah suatu institusi pelaksana.

Sekiranya kita percaya kenyataan Menteri Luar Negeri di atas, maka seolah-olah kita percaya bahawa Menteri Luar Negeri mempunyai kuasa untuk meminda undang-undang jenayah dalam negeri di Malaysia mengikut undang-undang antarabangsa tanpa meminda Perlembagaan. Menteri Luar Negeri tidak ada kuasa ini.

KETIGA, dalam Artikel 38 Perlembagaan Persekutuan dinyatakan bahawa Majlis Raja-raja Melayu
“…boleh menimbang teliti soal-soal mengenai dasar negara (misalnya perubahan tentang dasar imigresen) dan apa-apa perkara lain yang difikirkannya patut.”

Oleh itu Artikel 38 Perlembagaan Persekutuan sebenarnya memberi kuasa kepada Majlis Raja-raja Melayu berkenaan dasar hubungan luar negeri kerana hubungan luar negeri adalah termasuk dalam soal dasar negara (seperti mana hal imigresen di atas).

Lantas kenyataan Menteri Luar Negeri bahawa hubungan luar negeri tidak termasuk dalam bidang kuasa Majlis Raja-raja Melayu adalah tidak benar.

Artikel 39 Perlembagaan Persekutuan seperti yang dipetik oleh Menteri Luar Negeri di atas juga tidak mengasingkan kuasa berkenaan hubungan luar negeri di antara Eksekutif Kerajaan Persekutuan dan Majlis Raja-raja Melayu.

Malah Artikel ini menyatakan bahawa kuasa Eksekutif Persekutuan adalah tertaluk kepada hak Yang Dipertuan Agong seperti berikut:

“39. Kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang, memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.”

Artikel 39 di atas membawa maksudnya yang jelas dengan sendiri.

Ia juga tidak menyatakan baik secara tersurat mahupun tersirat bahawa Eksekutif atau Menteri Luar Negeri diberi kuasa berkenaan hubungan luar negeri atau kuasa untuk meratifikasi undang-undang jenayah antarabangsa tanpa merujuk Parlimen dan Majlis Raja-raja Melayu dan tanpa meminda Perlembagaan.

Dan Jadual Kedua dalam Artikel 39 ini tidak menyebut langsung berkenaan hubungan luar negeri malah merujuk kepada “Kewarganegaraan melalui kuatkuasa Undang-undang bagi orang yang lahir sebelum dan selepas Hari Malaysia”.

Sebaliknya, hubungan luar negeri adalah disebut dalam Jadual Kesembilan, dan jadual ini tidak disebutpun dalam Artikel 39.

Tambahan lagi, Jadual Kesembilan ini juga merujuk kepada konteks pembahagian kuasa eksekutif di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri seperti di atas, dan bukannya di antara Eksekutif Persekutuan dan Majlis Raja-raja Melayu seperti yang dinyatakan oleh Menteri Luar Negeri.

Saya sarankan supaya Menteri membaca dengan teliti Perlembagaan atau merujuk kepada pakar Perlembagaan untuk takrifan artikel-artikel dalam Perlembagaan ini dengan betul dan bukan main petik dan tembak sahaja dan berharap rakyat malas membaca.

Oleh yang demikian, hujah Menteri Luar Negeri menggunakan Artikel 38, 39, 74 dan 80 Perlembagaan Persekutuan untuk menyatakan bahawa Majlis Raja-raja Melayu tidak perlu dirujuk dan Perlembagaan tidak perlu dipinda dalam hal Statut Rom ini adalah tidak masuk akal dan salah sama sekali.

Untuk menandatangani dan meratifikasi Statut Rom ini perlu meminda Perlembagaan sebab ia melibatkan penguatkuasaan undang-undang jenayah “supranasional” antarabangsa ke atas undang-undang jenayah tempatan lantas memberi kesan kepada kedaulatan negara.

Sebab itu negara-negara lain mendapati ianya perlu untuk meminda perlembagaan mereka sebelum menandatangani atau meratifikasi Statut Rom ini.

Bayangkan, jika kita ratifikasi Statut Rom ini, mengikut Artikel 54 dan 98 Statut Rom, penyiasat dan pendakwaraya antarabangsa boleh masuk ke dalam negara untuk menyiasat, mendakwa dan menghukum warganegara Malaysia tanpa memaklum atau meminta kebenaran pihak berkuasa undang-undang tempatan dalam negara.

Jika ini berlaku, bidangkuasa dan kedaulatan undang-undang tempatan menjadi tidak bermakna lagi.

Sebab itu Singapura, Indonesia, India dan Amerika Syarikat pun tidak menandatangani dan meratifikasi Statut Rom ini.

Mengikut Artikel 89 Statut Rom, jika warganegara kita dituduh oleh pendakwaraya antarabangsa walaupun belum dibuktikan pertuduhan, kita perlu menyerahkan warganegara kita yang dituduh kepada kuasa asing untuk dibicara dan dihukum di mahkamah antarabangsa di luar negeri.

Kesalahan yang dituduh tidak semestinya jenayah pembunuhan beramai-ramai atau genocide, namun jenayah hak asasi manusia juga termasuk dalam Statut Rom ini.

Definasi hak asasi manusia adalah berbeza-beza di setiap negara dan budaya; hak asasi di satu negara tidak semestinya sama di satu negara lain, contohnya berkenaan LGBT dan jenayah sodomi.

Jika Statut Rom dan pendakwaraya antarabangsa ini tidak bersetuju dengan definasi hak asasi kita, mereka boleh campur tangan dalam penguatkuasaan undang-undang dalam negeri.

Dalam Artikel 7 Statut Rom berkenaan jenayah hak asasi manusia, takrifan jenayah hak asasi ini boleh dibuat dengan meluas oleh pendakwaraya antarabangsa.

Hal ini menimbulkan persoalan berkenaan kesan penguatkuasaan Statut Rom ini ke atas penguatkuasaan hukuman jenayah syariah oleh Mahkamah Syariah di Malaysia yang mana undang-undang Syariah selalu dituduh oleh masyarakat antarabangsa terutama dari Barat sebagai melanggar hak asasi manusia.

Saya bukan pakar Syariah, namun saya ingin bertanya:

Bagaimana sekiranya penguatkuasaan ke atas suatu kes jenayah dan hukuman syariah di Malaysia ditakrifkan oleh pendakwaraya antarabangsa sebagai suatu penindasan yang melanggar hak asasi manusia oleh itu mereka mendapati ianya merupakan satu jenayah hak asasi di bawah Statut Rom dan mahkamah antarabangsa?

Dalam kes ini adakah Sultan atau Raja iaitu Ketua Agama Islam sesebuah negeri boleh didakwa dan dituduh di bawah Statut Rom kerana melaksanakan undang-undang Syariah?

Seperkara lagi, Mahkamah Syariah dan hukuman ke atas jenayah Syariah adalah di bawah bidang kuasa Raja-raja Melayu di Malaysia seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dan berdasarkan Artikel 38 Perlembagaan Persekutuan, sekiranya apa-apa pindaan undang-undang memberi kesan ke atas bidangkuasa Raja-raja Melayu dalam perihal agama seperti di atas, maka Majlis Raja-raja Melayu perlu dirujuk.

Dalam persoalan di atas, meratifikasi Statut Rom ini boleh memberi kesan kepada bidang kuasa Raja-raja Melayu oleh itu Majlis Raja-raja Melayu perlu dirujuk sebelum menandatangani atau meratifikasi Statut Rom tersebut dan bukannya sebaliknya seperti yang dinyatakan oleh Menteri Luar Negeri.

Dalam hal ini, sekali lagi Menteri Luar Negeri mungkin terkhilaf dalam tindakan terburu-buru beliau.

Menandatangani dan meratifikasi Statut Rom ini adalah umpama seperti kita benarkan orang asing masuk rumah kita yang sudah teratur, pada bila-bila masa yang mereka mahu atau rasa syak tanpa memaklumkan kita, dan mereka tentukan pula bagaimana cara untuk kita hidup dalam rumah kita sendiri.

Dan jika kita tidak akur kepada peraturan mereka, mereka boleh tuduh dan ambil kita atau anak kita keluar dari rumah kita sebelum dihukum di rumah mereka atau di rumah orang lain.

Adakah kita setuju dan boleh terima hal ini?

Kepada Menteri Luar Negeri dan Kerajaan, tujuan saya bukan untuk menang debat dengan anda (walaupun saya sentiasa bersedia jika dijemput).

Namun sekiranya saya boleh menebuk pelbagai lubang dengan fakta dalam tempoh yang singkat ke atas hujah Menteri dan Kerajaan dalam hal ini, maka mungkin pihak Kerajaan tidak perlu terlalu cepat atau gopoh untuk menandatangani dan meratifikasi Statut Rom ini dan sebaliknya berfikir panjang sebelum bertindak dan menyesal di kemudian hari.

Jika YB Menteri rasa saya tidak betul dalam hal ini, maka buktikan yang saya tidak betul atau cari pakar Perlembagaan dan undang-undang antarabangsa dan rujuk kepada mereka.

Atau, yang lebih afdal, bawalah perkara ini ke Parlimen untuk dibahaskan dan bukan menyorok dan menyelinap melalui jalan belakang untuk meratifikasi statut antarabangsa yang se-kritikal ini.

Saya ingin menyarankan supaya Menteri dan kerajaan mengkaji dengan lebih mendalam dan memperhalusi terlebih dahulu perkara ini dan bermesyuwarah dengan pelbagai pihak serta lebih berhati-hati dan tidak terburu-buru sebelum menandatangani dan meratifikasi perkara yang membawa implikasi yang besar kepada rakyat dan negara ini.

Saya tidak mempunyai kepentingan apa-apa dalam hal ini selain menjadi rakyat yang mahu menjaga maruah dan kedaulatan negara.

Saya tidak mahu melihat maruah dan kedaulatan negara tergadai akibat kegopohan atau kebobrokan kita sendiri.

Jika ini berlaku, rakyat dan negara akan rugi, dan bumi dipijak mungkin dijajah semula.

Apabila ini berlaku, maka nasi sudah menjadi bubur.

Kita perlu lebih bijak dari ini.

 



Comments
Loading...