Anifah cadang kereta terbang guna buluh di Sabah


(Malaysia Gazette) – Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman secara sinis meminta projek kereta terbang menggunakan buluh dibawa ke Sabah dan Sarawak.

Ia agar rakyat di kedua-dua negeri itu tidak perlu menggunakan jalan yang banyak berlubang pada masa kelak, kata Ahli Parlimen Kimanis itu.

Sindiran itu mungkin dibuat ekoran sikap kerajaan yang semakin galak meneruskan pelbagai projek namun pada masa yang sama tidak mempunyai dana kewangan untuk disalurkan kepada Sabah dan Sarawak bagi tujuan infrastruktur serta pembangunan.

Jelas Anifah, dengan alasan keadaan kewangan yang dikatakan tidak mengizinkan selain daripada kutipan cukai tertinggi sebanyak RM137.035 bilion namun tidak ada apa-apa diberikan kepada Sabah dan Sarawak sehingga kini.

“Seperti yang diumumkan pada 8 Mac lepas,  keuntungan Petronas bagi tahun kewangan 2018 telah meningkat sebanyak 22 peratus kepada RM55.3 billion.Tidakkah Sabah juga berhak ke atas keuntungan Petronas itu?

“Kita juga tahu bahawa kerajaan Persekutuan telah mengutip jumlah cukai yang tertinggi iaitu RM137.035 bilion?

“Jika selama ini Menteri Kewangan bercakap bahawa kerajaan sememangnya hendak membayar apa yang tertunggak kepada Sabah tetapi dihalang oleh keadaan kewangan semasa semestinya jumlah kutipan cukai tersebut telah mengubah situasi kewangan.

“Untuk itu, saya ingin mendapat kepastian dari Menteri Kewangan bilakah dapat memulakan bayaran apa yang tertunggak oleh dan bilakah perbincangan serta kajian semula dengan izin Sabah Special Grants serta kadar pembayaran royalti.

“Namun dalam masa yang sama, semasa keadaan kewangan yang dikatakan tidak mengizinkan, kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk meneruskan pelbagai projek pembangunan dan pembinaan di Semenanjung Malaysia yang menelan belanja berpuluh bilion ringgit.

“Untuk itu, apa salahnya jika sejumlah wang diperuntukkan juga bagi pembinaan infrastruktur namun adakah projek di Semenanjung jauh lebih penting daripada memberikan kemudahan asas seperti jalan, elektrik dan air untuk Sabah, Sarawak?

“Saya fikir jika kita tidak dapat menyalurkan kewangan bagi membaik pulih serta membina jalan raya untuk Sabah dan Sarawak, sesuai benarlah projek kereta terbang tersebut dimajukan dengan menggunakan buluh agar ringan serta boleh terbang supaya rakyat Sabah dan Sarawak juga tidak perlu mengharungi jalan raya berlubang,” katanya wakil rakyat bebas itu lagi.

Beliau berkata demikian ketika membahas titah Yang Dipertuan Agung di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Anifah, dalam era Malaysia Baru yang dilaung–laungkan, rakyat Sabah dan Sarawak akan terus menuntut supaya status rakan kongsi yang dikembalkan bukan hanya lip service sahaja.

“Kita mahukan lebih peruntukan daripada kerajaan Persekutuaan bagi membiayai projek–projek pembangunan supaya keselesaan dan kesejahteraan yang dinikmati oleh rakyat di Persekutuan Tanah Melayu dapat juga dirasai di Sabah dan Sarawak,” ujarnya.

 



Comments
Loading...