Kenapa beri bantuan kepada Risda, tapi bukan kami, soal pekebun kecil getah di Sabah


(FMT) – Pekebun kecil getah di Sabah mendakwa diabaikan kerajaan yang hanya memberi Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada mereka di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Junz Wong bersama pegawai dari Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) sudah membincangkan perkara itu dengan Kementerian Industri Utama beberapa kali.

Wong berkata, kementeriannya dan kementerian di peringkat persekutuan membuat satu perjanjian secara dasar, dengan surat dihantar ke Kementerian Kewangan untuk memohon peruntukan tambahan bagi pemberian bantuan itu di Sabah.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan menolak permohonan itu.

Pekebun kecil getah yang mengadakan pertemuan di sini, semalam berkata, keputusan itu tidak adil bagi mereka dan juga Sabah.

“Kami ialah penyumbang utama untuk pengeluaran getah di Sabah. Kami berhak dibantu juga,” kata salah seorang pekebun kecil itu, George Gideon.

Pekebun kecil lain berkata, langkah Kementerian Kewangan itu berlawanan manifesto Pakatan Harapan yang termasuk janji untuk melindungi hak orang Sabah dan mengagihkan dana secara sama rata kepada negeri itu.

“Jelas PH tidak ikhlas memenuhi manifesto khas bagi Sabah,” kata seorang lagi pekebun kecil, Raymond Mogantar.

Mereka menggesa Kementerian Kewangan mengkaji semula keputusan itu kerana dana untuk pekebun kecil Risda datang daripada rakyat dan patut diberikan kepada mereka yang memerlukan.

“Tidak patut ada sebarang bentuk pilih kasih atau keputusan yang boleh dilihat bersifat menindas,” kata Mogantar.

Pekebun kecil getah yang layak di bawah LIGS di Sabah menerima RM200 selama 3 bulan antara November 2017 hingga Januari 2018.

Terdapat 70,594 pekebun kecil getah berdaftar dengan LIGS yang terdiri daripada 51,949 pekebun kecil dan 18,645 penoreh getah.

Risda mempunyai keseluruhan 6,055 pekebun kecil getah berdaftar di Sabah.

Kementerian Kewangan mengumumkan pemberian BMT sebanyak RM600 bagi pekebun kecil getah di bawah Risda di seluruh negara, Disember lalu.



Comments
Loading...