Skip to main content
Best News Website or Mobile Service
WAN-IFRA Digital Media Awards Worldwide 2022
Best News Website or Mobile Service
Digital Media Awards Worldwide 2022
Hamburger Menu

Advertisement

Advertisement

Asia

Umat Islam di Malaysia sambut pembukaan semula sempadan dengan ibadah Umrah di Arab Saudi

Negara-negara di rantau ini mengambil langkah berjaga-jaga dalam membuka semula sempadan bagi tujuan pelancongan. Dalam liputan ini, CNA melaporkan bagaimana rakyat Malaysia dapat kembali menunaikan Umrah setelah sekian lama menanti.

Umat Islam di Malaysia sambut pembukaan semula sempadan dengan ibadah Umrah di Arab Saudi
Masjidil Haram di kota suci Makkah, Arab Saudi dibuka untuk kehadiran penuh pada 17 Oktober 2021 dengan jemaah bersolat dalam saf rapat buat kali pertama sejak penularan pandemik COVID-19. (Foto: AFP)

KUALA LUMPUR: Perjalanan Halimah Norhan ke kota suci Makkah dan Madinah telah lama dinantikan.

Wanita berusia 47 tahun itu membuat tempahan melalui sebuah agensi pelancongan untuk menunaikan Umrah, ibadah yang dilakukan umat Islam sepanjang tahun, pada Jun 2020.

Bagaimanapun, ekoran pandemik COVID-19 yang telah menghentikan pelancongan luar negara di serata dunia, beliau terpaksa menangguh perjalanan setelah membuat bayaran deposit sebanyak RM2,000 (US$481.85).

Awal bulan ini, Putrajaya mengumumkan rakyat Malaysia yang telah lengkap vaksin dibenarkan untuk menjalani ibadah Umrah bermula 18 Oktober.

Pengumuman itu dibuat selepas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata rakyat Malaysia dibenarkan melancong ke luar negara tanpa mendapatkan kebenaran daripada pihak imigresen melalui skim MyTravelPass.

Ini membawa kelegaan kepada Halimah dan umat Islam di seluruh negara.

“Lega akhirnya, setelah sekian lama menanti, kami dapat membuat perjalanan (untuk menunaikan Umrah),” kata Halimah yang bakal berangkat bersama suaminya.

“Insya Allah, kami akan bertolak ke sana pada November,” tambah beliau. 

Skim MyTravelPass diperkenalkan bagi menghadkan perjalanan ke luar negara atas sebab-sebab tidak perlu seperti melancong ketika pandemik.

Kini apabila sekatan ditarik balik setelah kadar vaksinasi penduduk dewasa negara melebihi 90 peratus, rakyat Malaysia dibenarkan melancong ke luar negara.

Namun, ini bergantung pada beberapa faktor seperti sama ada negara lain sedia menerima pelancong dari Malaysia.

Memandangkan kerajaan Malaysia masih belum memperkenalkan sebarang gelembung pelancongan atau skim Vaccinated Travel Lane (VTL), rakyat Malaysia yang ingin melancong mempunyai pilihan terhad kepada negara yang sedia menerima kemasukan pelawat tanpa perlu kuarantin seperti Kanada, United Kingdom, Perancis, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Turki dan Arab Saudi.

Agensi pelancongan yang diwawancara CNA berkata permintaan tertinggi untuk pelancongan luar negara setakat ini adalah pakej Umrah ke Arab Saudi.

Abu Fadzil, ketua operasi dan khidmat pelanggan agensi pelancongan Asian Trails, memberitahu CNA: “Ramai rakyat Malaysia beragama Islam, jadi agama menjadi faktor utama yang menggalakkan mereka untuk bercuti. Umumnya, ia adalah keutamaan bagi rakyat Malaysia apabila merancang percutian.”

Pakar pelancongan, Profesor Kashif Hussain dari Taylor’s University di Malaysia, turut bersetuju.

Menurut beliau, lebih 60 peratus rakyat Malaysia beragama Islam, dan menunaikan Umrah adalah satu keutamaan bagi mereka setelah sempadan kini dibuka.

“Ramai yang tidak tahan dengan sekatan pergerakan yang berterusan, dan ingin bercuti ke Makkah dan Madinah untuk berehat demi kesihatan mental dan fizikal mereka,” jelas Kashif yang pernah menetap di Arab Saudi selama 25 tahun.

“Mereka ingin bersyukur kepada Tuhan kerana masih diberi kesihatan, dan yakin negara seperti Arab Saudi dapat menempatkan jemaah dengan selamat,” tambah beliau.  

Halimah yang bakal membuat perjalanan yang dinanti-nantikan pada pertengahan November ini berkata percutian lain boleh ditangguh buat masa ini.

“Pada ketika pandemik dan waktu sukar ini, saya rasa lebih penting untuk menunaikan Umrah sebagai tanda kesyukuran kepada Tuhan kerana telah memberikan kesihatan buat kami sekeluarga, dan berdoa agar pendemik ini berakhir tidak lama lagi,” jelas beliau.

SAMBUTAN MENGGALAKKAN TERHADAP PAKEJ UMRAH

Semenjak kerajaan Malaysia mengumumkan kebenaran perjalanan untuk Umrah, sudah ada jemaah yang telah berlepas untuk menunaikan ibadah tersebut dengan agensi pelancongan.

Rakyat Malaysia mengunjungi masjid suci di Makkah setelah sekatan perjalanan untuk pelancongan ditarik balik oleh Putrajaya. (Foto: Facebook/Emraz Travel and Tours)

Menerusi laman Facebook mereka, Emraz Travel and Tours telah membawa dua kumpulan jemaah ke Arab Saudi setakat ini. Kumpulan pertama terdiri daripada 11 orang termasuk pelakon Ashraf Muslim. Manakala kumpulan kedua terdiri daripada 25 orang dan telah berlepas pada pagi Isnin (25 Oktober) lalu.

Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH) turut menyatakan terdapat peningkatan dalam pertanyaan dan tempahan. Ini merupakan berita baik buat industri pelancongan setelah beberapa bulan terhenti.

Naib presiden PAPUH (industri) Helmi Daud memberitahu CNA walaupun ini petanda baik, beliau menjangkakan agensi pelancongan hanya dapat kembali beroperasi seperti dahulu pada Disember.

“Sebagai sebuah industri, kami agak terperanjat. Kebenaran perjalanan Umrah yang diberikan kerajaan datang dengan tiba-tiba. Kami menjangkakan awal November dan telah membuat perancangan berdasarkan tarikh tersebut,” jelas Helmi.

Sebuah lagi agensi yang mengkhusus dalam pakej Umrah, Qasswa Travel, turut melahirkan rasa lega kerana dapat kembali beroperasi.

Eksekutif pemasaran dan jualannya Hafilah Salleh memberitahu CNA mereka terpaksa beralih ke penjualan produk kesihatan dan sanitasi semenjak industri pelancongan terhenti akibat pandemik, dan berasa amat lega dapat menawarkan semula pakej lawatan mereka.

“Kami merancang untuk menawarkan tiga pakej berlainan pada Disember dan sambutan amat menggalakkan. Slot-slot ini laris terjual,” jelas Hafilah.

Tambah beliau, sesetengah klien mereka yang telahpun membuat tempahan namun terpaksa ditangguh akibat sekatan COVID-19 kini memilih untuk merebut peluang yang ada untuk melakukan perjalanan.

“Separuh daripada mereka (yang telahpun membuat tempahan dengan Qasswa Travel) kini berminat untuk menunaikan Umrah, sementara yang lain memilih untuk tunggu dan lihat,” jelas Hafilah.

Menurut agensi pelancongan, terdapat sedikit kenaikan harga pada pakej Umrah, namun ini tidak menjejaskan permintaan.

Kerajaan Malaysia telah menetapkan harga lantai RM6,900 untuk pakej Umrah 12 hari, 10 malam. Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berkata harga lantai tersebut selaras dengan perkembangan terkini kenaikan kos menunaikan Umrah ekoran protokol kesihatan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

Hafilah menjelaskan harga baru yang ditawarkan oleh Qasswa adalah antara RM8,590 hingga RM10,990, termasuk kos ujian COVID-19 dan insurans.

Jelas beliau, angka ini merupakan kenaikan kecil berbanding pakej yang ditawarkan sebelum COVID-19, namun menegaskan perkara ini tidak melunturkan semangat para jemaah.

“Malah, permintaan semakin meningkat terhadap pakej kami yang paling mahal,” jelas Hafilah.

“Jemaah sedia membayar harga premium bagi memastikan mereka dapat menjalani ibadah Umrah dengan tenang,” tambah beliau.

Halimah yang akan bertolak pada November ini berkata beliau dan suami membayar sekitar RM9,000 seorang bagi pakej yang diambil. Jumlah tersebut adalah RM500 lebih mahal berbanding harga sebelum COVID-19, tambah beliau.

KERAGUAN BERKENAAN PROTOKOL

Bagaimanapun, Hafilah dari Qasswa Travel berkata, sesetengah jemaah bimbang mengenai protokol kesihatan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

Ogos lepas Arab Saudi mengumumkan sedia menerima jemaah luar negara yang telah lengkap divaksin untuk menunaikan Umrah. Peraturan penjarakan sosial COVID-19 kemudian ditarik balik pada Oktober bagi membenarkan jemaah dan pelawat memenuhi Masjidil Haram, lapor AFP, memetik Saudi Press Agency.

Pengendali lawatan berkata jemaah masih perlu membuat tempahan slot ibadah seperti solat dan tawaf mengelilingi Kaabah di dalam Masjidil Haram.

Hafilah berkata jemaah tidak pasti jika tempahan slot dapat dilakukan dengan mudah bagi menikmati pengalaman yang tenang dan selamat.

Beliau juga berkata sesetengah klien telah menerima vaksin Sinovac. Kerajaan Arab Saudi telah mewajibkan jemaah yang menerima vaksin Sinovac untuk mengambil suntikan penggalak.

Hafilah berkata kerajaan Malaysia telah meminta mereka yang ingin melakukan ibadah Umrah supaya memohon suntikan penggalak melalui aplikasi MySejahtera.

Foto yang diambil menggunakan kelajuan pengatup perlahan ini menunjukkan umat Islam melakukan tawaf mengelilingi Kaabah di Masjidil Haram tanpa perlu menjaga penjarakan sosial buat pertama kalinya semenjak penularan pandemik koronavirus, di kota suci Makkah, Arab Saudi, Ahad, 17 Oktober 2021. Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi mengumumkan Jumaat lalu, ekoran penurunan ketara kes COVID-19 di seluruh negara dan kadar vaksinasi yang tinggi di Arab Saudi, beberapa sekatan akan dilonggarkan bermula Ahad. (Foto AP/Amr Nabil)

Helmi dari PAPUH berkata: “Pengalaman menunaikan Umrah kini sangat berbeza berbanding dahulu. Permohonan slot untuk Umrah, permohonan slot untuk solat. Bagi jemaah yang berusia, mereka mungkin menghadapi lebih banyak kesukaran.”

“PAPUH menasihatkan agar ejen mengingatkan jemaah supaya mengekalkan penjarakan sosial sebaik mungkin, walaupun kerajaan Arab Saudi telah melonggarkan peraturan berkenaan,” tambah beliau.

Beliau juga berkata sesetengah jemaah mungkin berasa tawar hati kerana terpaksa menjalani kuarantin sebaik pulang dari Arab Saudi.

Jemaah yang telah lengkap divaksin perlu menjalani kuarantin, namun dibenarkan membuat permohonan dengan Kementerian Kesihatan untuk berbuat demikian di rumah masing-masing.

“Sebagai pengendali, kami perlu menjelaskan situasi ini kepada pelanggan kami, dan sebarang langkah yang diambil pihak berkuasa adalah untuk manfaat semua,” jelas Helmi.

SAMBUTAN HAMBAR TERHADAP PELANCONGAN KE NEGARA LAIN

Meskipun terdapat peningkatan lawatan Umrah, agensi pelancongan yang diwawancara CNA turut memberitahu sambutan terhadap pelancongan ke negara lain agak hambar.

Hafilah dari Qasswa Travel memberitahu CNA, agensinya sedang merancang lawatan ke Turki dan Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis pada 2022, namun respons agak perlahan.

Helmi dari PAPUH yang mengendalikan agensi pelancongan sendiri memberitahu CNA beliau bercadang untuk menawarkan pakej ke Turki dan negara lain di Timur Tengah, namun dari segi logistik, masa yang lama diperlukan untuk menyambung semula operasi.

“Kami perlu berhubung semula dengan pengendali, syarikat penerbangan … terdapat banyak halangan untuk kembali beroperasi di negara-negara ini,” jelas Helmi.

“Jadi, fokus kami kini adalah Umrah kerana permintaan sudah ada,” tambah beliau.

Kashif dari Taylor’s University memberitahu CNA rakyat Malaysia teragak-agak untuk melancong ke negara Eropah seperti United Kingdom dan Perancis disebabkan negara-negara ini berada dalam fasa hidup dengan koronavirus yang berbeza. 

Beliau berkata pemakaian pelitup muka kini tidak lagi wajib di negara-negara Eropah dan pelancong Malaysia mungkin berasa kurang selesa dengan pendekatan ini.

“Risikonya ada kerana anda mungkin dijangkiti COVID-19 ketika bercuti. Ramai rakyat Malaysia tidak mahu perkara ini terjadi,” jelas Kashif.

Mungkin lebih ramai rakyat Malaysia yang akan bercuti ke luar negara sekiranya terdapat gelembung pelancongan dua-hala tanpa kuarantin, menurut pakar.

Irhanida Abdul Kadir, penyelidik pelancongan dan pensyarah kanan di UOW Malaysia KDU Penang University College, berpendapat pelaksanaan gelembung pelancongan dengan prosedur ujian COVID-19 yang sewajarnya serta keperluan vaksinasi akan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia bercuti ke luar negara. Dalam masa yang sama, lebih ramai pelancong akan hadir dan ini akan membantu ekonomi pelancongan, jelas beliau.

Irhanida mencadangkan sebuah gelembung pelancongan dengan Amiriah Arab Bersatu memandangkan ramai rakyat Malaysia berminat untuk mengunjungi bandar seperti Dubai dan Abu Dhabi. Ramai juga yang memiliki sanak saudara yang bekerja di negara-negara Teluk dan ingin menziarahi mereka.

“Ini dapat membantu industri pelancongan yang semakin lemah di kedua-dua negara. Tetapi ia memerlukan kepercayaan dan keyakinan antara negara, dan sistem yang efektif dan cekap bagi menghalang penyebaran virus,” jelas beliau.

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai kesanggupan seorang ahli korporat meninggalkan kerjayanya untuk mengendalikan sebuah empayar susu. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/ih(tx)

Advertisement

Also worth reading

Advertisement