Now Reading
Cuaca Terlampau Panas? Ini 5 Cara Untuk Kekal Sejuk Di Rumah Tanpa Guna Pendingin Hawa

Cuaca Terlampau Panas? Ini 5 Cara Untuk Kekal Sejuk Di Rumah Tanpa Guna Pendingin Hawa

Sebenarnya ada je cara untuk sejukkan badan di rumah tanpa perlu risau bil elektrik meningkat.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Walaupun rakyat Malaysia sudah biasa hidup dalam cuaca tropika yang panas dan lembap sepanjang tahun, namun sejak awal Mac tahun ini menjadi semakin sukar bagi sesetengah daripada kita untuk menahan suhu yang agak tinggi.

Menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca panas tersebut dijangka berlarutan sehingga pertengahan September berikutan monsun Barat Daya yang mengakibatkan iklim panas dan kering.

Cuaca yang sangat panas telah menimbulkan kebimbangan orang ramai tentang tahap kesihatan seperti ruam panas, kekejangan haba, keletihan haba dan strok haba.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga apabila melakukan aktiviti luar terutamanya ketika bersenam di bawah terik matahari dan memastikan diri kekal hidrasi dengan memperbanyakkan minum air.

Sumber: Suara.com

Walau bagaimanapun, bagi mereka yang ingin mengelakkan terik matahari dengan kekal di dalam rumah, ada perkara yang anda perlu risaukan iaitu peningkatan bil elektrik.

Pendingin hawa adalah pilihan utama kebanyakan orang bagi mengatasi haba kerana mampu memberi persekitaran yang sejuk. Walaupun ia memberi kita keselesaan dalam kehidupan seharian kita, orang ramai perlu sedar tentang masalah yang timbul jika kita kerap menggunakannya.

Pendingin hawa bukan sahaja salah satu penyumbang kepada bil elektrik yang tinggi kerana tenaga yang digunakan, malah penggunaannya juga menjadi punca pemanasan global yang menjadi isu alam sekitar pada masa kini.

Bagi mengelakkan sebarang perkara di atas berlaku, berikut adalah beberapa penyelesaian alternatif bersifat mesra alam dan ‘wallet-friendly’ yang boleh dilaksanakan di rumah. Antaranya:

1. Gantikan mentol pijar dengan mentol LED untuk mengurangkan haba

Semua peralatan elektronik yang memancarkan haba apabila menjana elektrik akan menyumbang kepada suhu bilik, termasuklah mentol lampu. Berbanding dengan mentol pijar tradisional, mentol LED menggunakan lebih sedikit tenaga, kurang menjana haba serta lebih cekap tenaga. Jadi kalau anda ingin menyejukkan bilik, penukaran kepada mentol LED ini boleh memberi kesan yang baik dan mampu mengurangkan bil elektrik anda.

Menukar mentol pijar kepada mentol LED akan membantu mengurangkan haba dan mengurangkan penggunaan tenaga.

2. Pasang bidai atau langsir gelap bagi mengurangkan jumlah haba yang mengalir ke dalam rumah

Pencahayaan semula jadi dari matahari mungkin boleh membuatkan bilik anda nampak lebih cantik, tetapi cahaya matahari yang menembusi tingkap boleh meningkatkan haba bilik terutamanya apabila anda mempunyai tingkap lebih besar.

Bidai dan langsir gelap adalah salah satu cara berkesan untuk menghalang cahaya matahari langsung daripada memanaskan ruang udara di rumah anda. Kalau anda keluar berjalan pada hari berkenaan, jangan lupa tutup langsir rumah terlebih dahulu supaya anda kembali ke rumah dalam suasana yang sejuk.

Tirai gelap atau bidai menghalang cahaya matahari daripada masuk ke dalam bilik sekali gus meminimumkan penambahan haba.

3. Lekatkan filem berwarna pada tingkap

Walaupun langsir adalah cara yang mudah dan berkesan untuk menghalang cahaya matahari, tetapi mungkin persekitaran yang gelap pada siang hari kurang digemari oleh sesetengah individu.

Alternatif lain yang boleh dilakukan adalah dengan melekatkan filem berwarna bagi mengurangkan haba daripada cahaya matahari tanpa menghalang kemasukan cahaya semula jadi. Secara amnya, filem tingkap ini berfungsi untuk memantulkan haba bagi mengelakkan suhu yang terlampau panas.

Pelbagai jenis filem yang dijual di pasaran yang direka khas untuk memberi perlindungan daripada sinaran UV.

Tingkap yang ditampal filem berwarna mampu memantulkan sinaran UV dan masih membenarkan cahaya semula jadi masuk ke dalam rumah.

4. Mencipta sistem penyejukan semula jadi menggunakan ciri air

Penggunaan ciri air di dalam rumah menjadi salah satu alternatif yang sering digunakan kerana mampu memberi penyejukan semula jadi, cekap tenaga dan mewujudkan suasana yang tenang serta damai. Walau bagaimanapun, faedah ini tidak akan kekal jika ciri air tidak diselenggara dengan baik.

Menurut Encik Koo Zao Cheong iaitu Pengurus Pembangunan Perniagaan Serantau Waterco, jika semua peralatan dipilih dan dipasang dengan betul, ia dapat memastikan aliran air berjalan lancar dan penyelenggaraan yang minimum pada masa hadapan.

“Terdapat beberapa faktor yang menentukan ciri air yang berjaya dan salah satunya ialah saiz pam. Memilih pam air mengikut reka bentuk ciri air adalah penting kerana untuk memastikan air mengalir lancar dan tidak memercik ke merata tempat. Penapisan air yang berkesan juga penting bagi mengawal kebesihan air terutamanya bagi mereka yang ingin menternak ikan. Ini untuk mengelakkan bau dan meminimumkan penyelenggaraan yang diperlukan,” jelas Encik Koo.

Ciri-ciri air membantu mencipta sistem penyejukan semula jadi di dalam rumah dan membawa suasana ambien ke ruang kediaman.

5. Lap kipas siling anda dengan kerap

Tahukah anda lapisan habuk tebal pada kipas siling adalah salah satu faktor utama yang mempengaruhi kesan penyejukan kipas? Proses untuk membersihkan habuk kipas siling boleh menjadi agak leceh dan mungkin ada yang membersihkannya setahun sekali.

Kotoran pada kipas bukan sahaja tidak bersih tetapi juga memperlahankan kelajuan kipas. Cubalah bersihkan kipas siling anda dan pasti anda akan melihat perbezaannya.

Kipas siling hendaklah sentiasa dibersihkan untuk mengelakkan habuk sehingga boleh memperlahankan kipas dan menjejaskan kebersihan persekitaran tempat tinggal.

Cuba petua mudah ini dan kurangkan bergantung pada pendingin hawa untuk kekal sejuk di rumah! Mana tahu anda alternatif ini boleh ‘menyelamatkan’ dompet anda, ruang kediaman dan alam sekitar.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd