Now Reading
Lontar Isu Kerajaan Potong Subsidi 1 Julai Di TikTok, Wanita Ini Ditahan Polis

Lontar Isu Kerajaan Potong Subsidi 1 Julai Di TikTok, Wanita Ini Ditahan Polis

Siti Aishah yang memuat naik video tentang isu subsidi di TikTok dipanggil ke balai polis Sungai Senam, Perak pada 27 Jun.

video TikTok isu subsidi

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Bermula 1 Julai ini, kerajaan mengumumkan kawalan harga siling ayam dan telur serta subsidi minyak masak sawit tulen di dalam botol dua, tiga dan lima kilogram tidak lagi diteruskan.

Pemansuhan subsidi barangan ini yang mencecah RM20 juta sebulan dilaksanakan oleh kerajaan bagi memastikan bekalan bahan makanan di dalam pasaran lebih stabil untuk tempoh jangka masa panjang.

Pada masa yang sama, subsidi untuk penternak ayam juga tidak akan diberikan lagi bermula 1 Julai.

BACA JUGA: Kawalan Harga Siling Ayam & Telur, Subsidi Minyak Masak Botol Dimansuhkan 1 Julai

Wanita ini beri pendapat peribadi tentang isu subsidi

Situasi berbeza yang bakal berlaku pada 1 Julai ini membuatkan seorang pengguna wanita memuat naik video di laman TikTok miliknya (Siti Aishah Shaik Is) untuk melontarkan pendapatnya tentang isu pemansuhan subsidi tersebut.

Siti Aishah dilihat mempersoalkan tindakan kerajaan seolah-olah menjadikan hidup rakyat semakin sengsara dengan penarikan subsidi terhadap barangan di pasaran.

1 Julai ini bukan tarikh keramat tapi tarikh derita. Semua subsidi dalam negara akan dilupus. Semua subsidi yang membantu rakyat dari bebanan harga, semuanya akan diambil semula oleh pemerintah negara. Subsidi ini duit negara yang diberikan kepada peniaga agar rakyat tak derita. Derita maksudnya beban ekonomi yang menggila. Dapat sedikit tetapi keluar semula terpaksa meminjam sini sana. Yang dulu M40 sekarang turun di bawah garis kemiskinan dunia. Menteri kata tarik subsidi supaya wang disalurkan kepada B40. Tapi itu kata menteri, bukan janji yang hakiki. Oh, bila soal duit nama rakyat jadi jual beli? Tapi apa yang kau janji tak pernah ditepati. Tunggulah selepas ini, banyak lagi cerita bunuh diri. Banyak lagi yang akan murung diri. Bukan kerana kesal dilahirkan di dunia ini, tetapi kesal jadi rakyat negara ini.

Siti Aishah Shaik Ismail.

Wanita ini menerusi video yang sama turut menyeru masyarakat Malaysia supaya sedar tentang apa yang telah para menteri lakukan terhadap rakyat.

Kepada kerajaan, ini bukan satu janji. Kamu sukarkan hidup rakyat setiap inci. Terbakar hati mereka sehingga meninggi. Tunggulah rakyat bangkit baru kamu akan sedar diri. Rakyat Malaysia sedarlah diri. Menteri ludah muka kamu hari-hari. Menteri tabur pasir dalam periuk nasi tak berhenti. Apakah kamu masih mahu pertahankan kerajaan ini sampai mati? Jangan tepuk dada, tapi tepuk dahi. Jangan tanya hati, tapi buat sebagi bukti. Masuk PRU ini, kalian raja mereka kuli. Letak maruah kalian di hati, bukan kaki menteri.

Siti Aishah Shaik Ismail.

Video berdurasi dua minit 20 saat ini telah meraih 2.5 juta tontonan setakat artikel ini ditulis.

Video berkenaan menerima pelbagai reaksi dari orang ramai di media sosial

Luahan wanita berkenaan menerusi video TikTok miliknya itu telah mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai. Ada yang menyokong luahan hatinya dan berpendapat mungkin sudah tiba masa untuk menukar kerajaan.

Namun, segelintir masyarakat menganggap video tersebut tidak betul kerana dipercayai bukan semua subsidi dalam negara ditarik semula.

Video tersebut juga mendapat reaksi daripada ahli politik Parti Tindakan Demokratik (DAP) iaitu Syahredzan Johan menerusi laman Twitter rasminya (Syahredzan Johan).

Siti Aishah ditahan oleh pihak polis

Selepas video wanita tersebut mempersoalkan tentang isu subsidi tular di media sosial, dia telah ditahan oleh pihak polis dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Senam, Ipoh untuk disiasat.

Buat masa ini, saya dituduh atas dua perkara iaitu kandungan video dan laporan polis yang dibuat oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) terhadap kandungannya di Balai Polis Dang Wangi.

Siti Aishah Shaik Ismail.

Berita ini juga dikongsikan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menerusi ciapan yang dimuat naik di laman Twitter miliknya (Fahmi Fadzil).

Sehingga kini, Siti Aishah tidak memberikan sebarang ulasan selepas dia dipanggil ke balai polis.

Siapa Siti Aishah Shaik Ismail?

Sumber: Sinar Harian

Untuk pengetahuan anda, wanita di dalam video yang tular ini merupakan seorang ahli politik di Malaysia. Beliau adalah bekas senator yang dipilih oleh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di Parlimen Malaysia dari 22 Jun 2015 sehingga 2 Jun 2018.

Siti Aishah yang juga merupakan bekas Ketua Srikandi Parti Keadilan Rakyat (PKR) pernah dilantik sebagai Penasihat Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu pada tahun 2018.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd